Osmosis اوسموسيس Osmosis songsang

Apabila dua larutan dengan kepekatan zat terlarut berlainan dicampur, jumlah bendasing terlarut akan diedar sekata dalam jumlah keseluruhan pelarut (contohnya air) dari dua larutan itu demi mencapai keseimbangan.

Akan tetapi sekiranya kedua-dua larutan itu tidak dicampur, sebaliknya diletakkan dalam dua bahagian yang dipisahkan oleh membran separuh telap, situasi di atas tidak akan berlaku. Membran itu menghalang zat terlarut dari bergerak ke bahagian yang lagi satu, namun membenarkan pelarut bergerak. Oleh kerana keseimbangan tidak dapat dicapai dengan pergerakan zat terlarut dari bahagian berkepatan tinggi ke bahagian berkepekatan rendah, ia dicapai melalui pergerakan pelarut dari bahagian berkepekatan rendah ke bahagian berkepekatan tinggi. Apabila pelarut bergerak meninggalkan kawasan berkepekatan rendah, ia menjadikan bahagian itu lebih pekat. Di bahagian yang lagi satu pula, kepekatan larutan akan berkurang akibat bertambahnya pelarut. Proses ini dinamakan osmosis. Kecenderungan pelarut untuk mengalir melalui membran boleh diungkapkan sebagai "tekanan osmosis", kerana ia serupa dengan aliran akibat perbezaan tekanan.

Dalam osmosis songsang, keadaan di atas diubah sedikit, tekanan dikenakan kepada bahagian berkepekatan tinggi. Dalam kes ini, terdapat dua daya yang mempengaruhi pergerakan pelarut (air): tekanan yang disebabkan oleh perbezaan kepekatan zat terlarut (tekanan osmosis) dan tekanan luar yang dikenakan.